Kongres Melayu Semenanjung I asalnya di Melaka

Wednesday, January 28, 2009 | | | |
2.8 Kongres Melayu Semenanjung I asalnya di Melaka

Pada masa yang sama Dato Onn Jaafar yang bagitu berpengaruh di Johor, sering datang ke Melaka membincangkan soal-soal politik orang-orang Melayu. Waktu itu Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka belum ditubuhkan. Beberapa pemimpin Melayu yang terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan tertarik dengan perjuangan Dato Onn dan ahkirnya menubuhkan Pergerakan Melayu Semenajung Melaka yang berkubu kuat di Jasin.

Peristiwa timbulnya MPAJA atau Bintang 3 selepas Perang juga merupakan satu fenomena baru yang mesti diselesaikan. Dato Onn mahu orang-orang Melayu bangun menyelesaikan masalah MPAJA ini

Selain dari itu timbul pula satu lagi trajedi nasional iaitu Malayan Union yang bakal diperkenalkan oleh kerajaan British ke Tanah Melayu. Bebanan ini mesti diselesaikan agar nasib masa hadapan orang-orang Melayu terus terjamin dan tidak merempat di tanah air sendiri. Pemimpin KMM tahu banyak masalah yang perlu diselesaikan untuk menyelamatkan orang-orang Melayu.

Kerajaan British mengumumkan tentang gagasan Malayan Union pada 22.1.1946. Sehari selepas pengumuman itu, 23.1.1946 Dato Onn dengan rakan-rakannya telah datang ke Melaka bertemu dengan pemimpin-pemimpin Kesatuan Melayu Melaka, di Dewan Perniagaan India, Lorong Gereja Melaka untuk membincangkan nasib masa hadapan orang-orang Melayu. Tujuan utamanya ialah untuk membatalkan Malayan Union yang merupakan malapetakan kepada Tanah Melayu. Kedatangan Dato Onn ke Melaka ialah untuk mengadakan satu Kongres Kebangsaan Melayu seperti yang sarankan oleh Warta Negara pada 10.11.1945 dan lain-lain akhbar tempatan . Dato Onn mahu kongres itu diadakan di Melaka dan dikendalikan oleh Kesatuan Melayu Melaka. Walaupun tugas itu bukannya mudah tetapi Kesatuan Melayu Melaka sebulat suara sanggup menerima tanggungjawab itu.

"......Saya mahu Kongres Melayu I di adakan di Melaka dan dianjurkan oleh Kesatuan Melayu Melaka.."

Sebaik sahaja Kesatuan Melayu Melaka menyatakan kesanggupannya, surat pun dideraf dan dihantarkan ke Kuala Lumpur dan disiarkan di dalam akhbar “MAJLIS” Peranan akhbar MAJLIS dalam usaha mengadakan Kongres ini amatlah bersar. Segala urusan antara peserta dan pengelola kongres dan Dato Onn semuanya melalui akhbar Majlis kerana perhubungan pos belum berapa sempurna lagi tambahan pula makan masa yang panjang sedangkan program yang dijalankan adalah program tergempar yang memerlukan tindakan serata merta.

Dalam pertemuan dengan Kesatuan Melayu Melaka pada 23.1.1946 di Dewan Perniagaan India, Jalan Gereja Melaka Dato Onn sendiri telah memilih Melaka sebagai tempat untuk mengadakan Kongres Melayu Malaya itu. Mengapa Melaka dipilih sebagai tempat Kongres Melayu yang Pertama itu, diterangkan:

…. Melaka dicadangkan sebab kerajaan besar Melayu dahulu ialah Melaka. Tempat hubalang Melayu yang terkenal sekali dalam sejarah Melayu .Di sanalah ia diperanakan dan di sanalah ia meninggal dunia dan meninggalkan nama yang masyhur Hubalang Hang Tuah.”


Dalam memilih Melaka sebagai tempat Kongres, nasionalis ulung Melayu itu bagitu optimistik sekali bahawa kerajaan Melayu yang lebih besar akan lahir, malah lebih besar dari kerajaan Melaka. Untuk melahirkan kerajaan yang baru perlulah dipilih tempat yang sesuai , beliau berkata:

“……Pada hari ini orang-orang Melayu kita bolehlah disifatkan sebagai ibu yang sedang mengandung, kesakitan ibu yang hendak bersalin, maka tempat belaan ibu yang sakit itu , pada fikiran saya hendaklah pada sebuah tempat, yang berpadan dengana tanggungannya, bukan sahaja dengan sihat bahkan pada tempat yang haknya. Maka pada sempena nama MELAKA dengan pendirian kerajaan Melaka zaman dahulu itu mudah-mudahan harus kelak pada satu masa yang akan ditentukan oleh Tuhan akan menjelma semula sebuah kerajaan Melayu yang agar lebih besar dan lebih elok daripada segala kerajaan-kerajaan Melayu yang lain…”

Akhbar “MAJLIS” yang banyak memberi kerjasama kepada Keatuan Melayu Melaka dalam mengadakan Kongres Melayu I 1946

Tidak ragu lagi bahawa Dato Onn percaya yang Melaka adalah tempat yang paling sesuai sekali tempat perhimpuan orang-orang Melayu. Pemimpin-pemimpin politik Melayu telah berbincang beberapa kali khususnya membincangkan tentang pengelolaan Kongress tersebut. Mohammad Ali Salleh, Presiden Persatuan Melayu Melaka telah menulis kepada akhbar MAJLIS . Antara lain kandungannya:

“…….Bagi pihak saya sendiri saya amat setuju masanya sudah sampai kita patut mengadakan satu Kongres yang tempat kongres itu bersidang ialah Melaka kerana di sinilah ada kerajaan Melayu merdeka sampai tahun 1511 dan seperti kata Dato Onn ia bersyukur kepada Jawatankuasa Kesatuan Melayu Melaka pada 23 Januari yang lepas ini Melaka patut timbulnya satu pergerakan Melayu Malaya yang akan membela balik kemerdekaan Malaya.

Dengan itu saya minta tuan-tuan dan segala ketua-ketua Melayu di segenap Malaya berutus dengan saya berkenaan dengan hal ini serta memberi cadangan-cadangan yang akan dibahaskan supaya dapat saya tunaikan permintaan tuan-tuan pembaca dan umat Melayu dan saya sebagai tuan rumah akan menjemput wakil dari negeri-negeri dalam semenanjung ini . “

Muhammad Ali Salleh, Presiden Kesatuan Melayu Melaka bertindak proaktif bagi menentukan Kongres Melayu yang hendak diadakan di Melaka berjalan licin dan lancer.


Ini adalah usaha yang pertama dijalankan oleh Muhammad Ali Salleh sebagai Presiden Kesatuan Melayu Melaka. Beliau sendiri bagitu berminat agar Kongres itu diadakan di Melaka. Beliau teleh berusaha dengan gigih untuk mendapatkan nama persatuan dan kesatuan Melayu di seluruh Malaya yang akan mengikuti kongres Melayu yang belum pasti tarikhnya.

2.9 Kongres Melayu I pindah ke Kuala Lumpur.

Setelah beberapa hari presiden Kesatuan Melayu Melaka mengeluarkan suratnya dan kenyataan tentang kongres tersebut, timbul pula ‘pros’ dan ‘cons’ dari pemimpin-pemimpin Melayu seluruh Semenanjung mengenai pemilihan tempat berkongres.

Sebahagian besar dari mereka tidak bersetuju diadakan di Melaka atas sebab beberapa masalah. Lebih setengah bulan MAJLIS membincangkan soal tempat kongress Melayu pertama itu. Dato Onn yang mencadangkan tempat Kongres itu di Melaka terpaksa menimbangkan semula cadangan negeri-negeri lain kerana alasan-alasan yang diberikan adalah lojik dan rational. Masalah utama yang mereka hadapi ialah soalah pengangkutan dan jarak yang jauh. Peperangan baharu sahaja tamat. Banyak jambatan-jambatan dan jalan-jalan raya rosak dan belum sempurna dibaiki. Pengangkutan awam belum banyak lagi. Pengangkutan yang ada, tetapi belum sempurna, ialah pengankutan keretapi. Keretapi di Melaka hanya sampai ke Tampin sahaja. Pengangkutan awam dari Tampin ke Melaka tidak mudah didapati. Melaka sangat jauh ke selatan dan amat sukar untuk sampai bagi mereka yang datang dari utara dan pantai timur. Sebab itu ramai bersetuju diadakan di tempat yang mudah untuk sampai iaitu di ‘Kuala Lumpur

Kesatuan Melayu Melaka yang telah berusaha untuk menyambut Kongres yang bersejarah itu terpaksa akur dengan kehendak ramai. Ada di antara pegawai-pegawai KMM rasa keciwa tetapi demi kerana politik Melayu khasnya mereka tetap berpuas hati dan bagi mereka itu adalah satu perjuangan juga. Mereka terpaksa menyerahkan urusan pengurusan Konres itu kepada Kesatuan Melayu Selangor di bawah presidenya Zainal Abidin Bin Ahmad.

Namun demikian Dato Onn thelah memberi penghargaan yang tinggi kepada pemimpin-pemimpin Kesatuan Melayu Melaka. Dalam penutupan Kongres Melayu di Sulaiman Club, Kg.Baru, Kuala Lumpur, pada 4.3.1946 beliau menyatakan :

“ ……….Saudara-saudara kita di Melaka telah menunjukkan semangat kerjasama mereka pada mulanya bersetuju dan sanggup hendak menanggung pekerjaan kerana hendak mengadakan Kongres ini. Semangat kerjasama kerana faedah ramai itu telah ditunjukkan oleh saudara kita di Melaka itu apabila mereka merendahkan diri mereka kerana menunaikan suara ramai umat Melayu supaya tempat Kongres itu ditukarkan dari Melaka ke Kuala Lumpur…….”

Kongres itu di adakan di Sultan Sulaiman Club, Kampung Baru, Kuala Lumpur, dari 1 hingga 4 Mac, 1946. Kesatuan Melayu Melaka telah menghantar 4 orang wakil terdiri dari Muhammad Ali Salleh, Hj Talib Karim, Jaafar Alang dan Muhammad Yusof Harun.

Selepas Kongres itu Kesatuan Melayu Melaka nampaknya kurang aktif. Mereka hanya menghantar wakilnya ke 3 Persidangan Agong UMNO sahaja. Persidangan Agung itu diadakan di Ipoh pada 29 dan 30 Jun,1946, di Alor Star pada 11-13 Januari, 1947 dan di Negeri Sembilan pada 1 dan 2 Mac, 1947. Wakil-wakilnya yang biasa mewakili KMM ialah Mohammad Ali Salleh, Hj Talib Karim dan Mohd Arif. Dalam persidangan-persidangan lain mereka memberi proxi kepada Pergerakan Melayu Semenanjung sahaja. Dalam tahun 1947 ke atas langsung tidak aktif, ramai ahli-ahli dan pegawainya memasuki UMNO yang diusahakan penubuhannya oleh Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka.

2.10 PKMM menyerap ke dalam UMNO

Antara sebab utama mengapa KMM mula merosot dalam tahun-tahun 1946 lagi ialah kerana wujudnya Dato Onn Jaafar dan Panglima Kiyai Salleh yang sama-sama berusaha membangunkan Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka di arina politik Melayu Melaka. Dato Onn menggalakkan Melaka menubuhkan PMS Melaka seperti mana PMS Johor. Perjuangan PMS Melaka dengan KMM tidak banyak bezanya tetapi pegawai-pegawai KMM dan ahli-ahlinya lebih tertarik kepada PMS Melaka.

Apabila Pergerakan Melayu Semenanjung Melaka mengambil initiatif membubarkan PMS Melaka lalu menubuhkan UMNO, Kesatuan Melayu Melaka juga turut membubarkan Kesatuan itu lalu menyerap ke dalam UMNO. Salah seorang yang terus berjaya hingga ke puncak ialah Tuan Hj Talib Karim orang kuat Kesatuan Melayu Melaka. Beliau telah bersama-sama menyertai UMNO dan ahkirnya amenjadi Ketua Menteri Melaka.

Hj Talib Karim, orang kanan Kesatuan Melayu Melaka, telah membubarkan pergarakannya untuk menyertai UMNO dan akhirnya menjadi ahli dan Jawatankuasa UMNO yang aktif hingga beliau menjadi Ketua Menteri Melaka.














0 comments:

Post a Comment